Dun Sungai Limau memang kubu kuat Pas dan ianya terbukti dengan hasil kiraan undi yang diumumkan malam tadi meletakkan calon Pas, Mohd Azam Abd Samat di depan dengan majoriti 1,084, menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.
Seperti yang diramalkan banyak pihak, Pas kekal di Sungai Limau namun dengan majoriti yang merosot. Tepat sekali ramalan itu.
Azam memperoleh 12,069 undi manakala calon BN mendapat 10,985 undi, jumlah pengundi yang turun membuang undi seramai 85.5 peratus (22,642 pemilih) daripada 27,222 yang sepatutnya turun menunaikan tanggungjawab.
Syukurlah sudah diketahui siapa penyandang barunya, usahlah lagi disebut soal sabotaj kerana mengundi hari biasa!
Mengimbau kembali siri kempen PRK Dun Sungai Limau, semuanya kelihatan tenang pada awalnya. Corak kempen kedua-dua parti lebih santai, bersahaja, bersih dan harmoni... malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan, kempen PRK Sungai Limau yang paling aman.
Beliau mengesahkan hanya menerima enam laporan dan tiada kesalahan serius yang dilaporkan sepanjang proses kempen dijalankan.
Matangkah politik Malaysia?
Perbuatan menggantung patung kaki berhampiran dengan beberapa pusat gerak kerja BN di Dun Sungai Limau antara perbuatan yang benar-benar menggoncang hati bukan sahaja isteri kepada Allahyarham Tan Sri Azizan sekeluarga malah mereka yang mengikuti perkembangan PRK Dun Sungai Limau.
Tidakkah tidak timbul rasa simpati atau sebenarnya politik mengajar manusia menjadi biadap demi mencapai apa yang diimpikan?
Malah SMS-SMS fitnah yang bertebaran juga sedikit-sebanyak mencacatkan perjalanan PRK Dun Sungai Limau namun begitulah adat pilihan raya di Malaysia, mana-mana pun tak lari dari unsur provokasi. Kita mahu bercakap tentang politik matang?
Rasanya kita masih jauh... Belum lagi kalau kita sebutkan tentang pertengkaran mulut sehingga membawa pergaduhan. Rasa malu juga kenapa sampai begini jadinya.
Proses meraikan demokrasi dalam negara tidak sepatutnya berjalan seperti itu. Berperanglah dari segi fakta bukan kata nista, amalkanlah budaya politik sihat, hormati lawan, kita hanya mahu memilih pemimpin, bukan mahu membinasakan kedamaian.
Bukankah akhirnya selepas pilihan raya ini, kita masih tinggal di tempat yang sama? Mengapa perlu kita bergaduh dan mencerca?
Apa pun syukur, semuanya sudah selamat. Yang menang dengan izin ALLAH dan yang kalah juga atas kemahuan ALLAH.
Masing-masing, BN dan PR ada kelebihan dan kekurangan.
BN perlu mencontohi sikap "standby" Pas dalam menyediakan pelapisnya di peringkat muda, bukan hanya berbekalkan ilmu politik sahaja bahkan mampu menyantuni masyarakat setempat.
Rakyat semakin celik politik, BN perlu mengkaji semula strategi mereka jika mahu meraih sokongan rakyat.
Projek mee segera tidak lagi menjadi tarikan utama pengundi sebaliknya perjuangan kebajikan rakyat itu semakin popular yang menjadi kayu pengukur sebelum seseorang wakil rakyat itu dipilih.
Keputusan PRK ini mungkin merentap hati Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir selepas ia merupakan kegagalan berturut-turut selepas tewas pada pemilihan Umno, Oktober lalu dalam merebut jawatan naib presiden.
Walaupun pertandingan yang berbeza namun natijahnya sama, terpulang kepada Mukhriz untuk terus melaksanakan segala projek yang dijanjikan baik beliau sendiri mahupun pimpinan Umno yang lain.
Jangan sampai orang kata masa berkempen sahaja pandai janji, bila habis mengundi sunyi sepi, tinggal sahaja tapak pecah tanah dan kayu pancang di sebalik papan tanda projek pembangunan segera.
Manakala Pas juga, jangan habis madu sepah dibuang. Janji-janji yang diungkap perlu dilunaskan, jangan jadi kacang yang lupakan kulit. Pengundi memilih dengan harapan yang besar supaya suara mereka dapat dibawa ke tengah.
Ucapan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang mengakui "terhutang budi" dengan bantuan pengamal media yang tidak lokek memberikan ruang kepada kempen parti itu, kami sambut dengan hati terbuka. Kami di pihak media hanya memberi ruang dan melaporkan seadil-adilnya.
Nampaknya media sosial seperti Facebook, Twitter dan media baru menjadi pilihan pengundi di Dun Sungai Limau sebagai rujukan utama untuk mendapatkan informasi yang tepat dan telus.
Pengaruh media baru juga antara faktor penyumbang kemenangan Pas mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau kali ini, namun jangan dilupa khidmat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunaikan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar